‘Dua Darah’: Ritual, Identiti dan Politik Kehilangan

Dua Darah

Presented by ZXC Theatre Troupe
17-19 April 2026
Five Arts Centre studio, GMBB

ULASAN DITULIS OLEH FASYALI FADZLY

Tarik rambut dalam tepung — rambut tak putus, tepung tak selerak. Mungkin inilah pendekatan yang diambil dalam pementasan Dua Darah. Pementasan yang dipersembahkan oleh ZXC Theatre Troupe yang berasal daripada Pulau Pinang ini telah mementaskan teater ini di Pulau Pinang pada 11–12 April 2026 dan minggu berikutnya di Kuala Lumpur. Saya sempat hadir ke pementasan yang bertempat di Five Arts Centre pada hari Sabtu, 18hb April. Penonton hadir dalam jumlah sederhana — cukup untuk mencipta suasana yang intim tanpa rasa lengang. Saya menonton dengan selesa dan tidak perlu bersesak-sesak.

Dua Darah ialah sebuah karya tulisan Johan Othman yang cuba menelusuri persoalan pertembungan identiti budaya dan agama dalam konteks masyarakat Malaysia yang berlapis-lapis. Diarahkan oleh Chee Sek Thim, pementasan ini mengangkat sebuah tema cerita yang bukan asing dalam karya-karya tempatan — iaitu hubungan antara dua budaya — namun memilih untuk mengolahnya melalui struktur ritual pengkebumian sebagai teras dramatik dan premis cerita.

Dua Darah dilakonkan oleh (dari kanan) Teoh Chee Lin, Hilyati Ramli dan He Sheau Fung. Foto oleh Meshal Photography

Watak utama yang dilakonkan oleh Hilyati Ramli merupakan individu berdarah campuran Melayu-Cina, hasil daripada perkahwinan ibu Cina dan ayah Melayu. Konflik utama tercetus apabila beliau berhadapan dengan dilema untuk menghadiri upacara pengebumian makciknya yang beragama Buddha. Dalam konteks sebagai seorang Muslim, keputusan untuk hadir ke dalam ruang ritual keagamaan lain bukan sahaja membawa implikasi peribadi tetapi juga sosial. Pementasan ini tidak menjadikan konflik tersebut sebagai sesuatu yang meledak-ledak, sebaliknya memilih pendekatan yang lebih terkawal, reflektif dan berlapik. 

Terdapat satu situasi di awal adegan yang mengingatkan saya kepada satu peristiwa yang berlaku di Jepun. Ketika itu saya menyertai satu projek teater yang mengumpulkan pelbagai seniman daripada pelbagai negara. Pada hari pementasan pembukaan, semua yang terlibat masuk ke dalam bilik dan membuat sedikit ucapan di dalam bulatan besar. Situasi seperti ini selalu juga berlaku di Malaysia — kita buat bulatan bersama semua ahli produksi dan ada ucapan ringkas, bacaan doa dan teriak semangat sebelum pementasan bermula. Saya beranggapan perkara yang sama berlaku. Namun, dalam situasi tersebut bacaan doa sahaja yang berubah. Saya diberikan sebatang lidi setanggi, dinyala dan dibiarkan berbara mengeluarkan haruman setanggi. Setelah itu, kami semua diminta untuk pejam mata dan mengingati datuk moyang yang telah hadir dalam hidup kita sebelum ini. Ketika ini saya berada dalam dilemma, adakah ini ritual agama tertentu, kerana dari segi gestur ia seperti upacara sembahyang agama lain, atau cuma tradisi dalam berteater dari negara lain? Saya memegang sahaja lidi tersebut dan bersoal-soal adakah yang saya lakukan ini sudah melanggar hukum agama Islam? Saya gantikan dengan doa seperti yang selalu saya buat agar pementasan berjalan dengan lancar sambil tangan masih memegang lidi berbara tersebut. Saya bernasib baik kerana tiada sesiapa yang menghakimi atau mempersoalkan tindakan saya. Ketika ini, saya tahu hanya Tuhan yang maha adil dan mengetahui. Saya serahkan seluruh tindakan saya pada hari itu kepadaNya. 

Berbalik kepada Dua Darah, apabila menonton adegan tersebut, saya terus dapat merasakan dilema watak seorang Muslim yang harus memegang joss stick sebagai satu upacara ritual kematian ibu saudaranya. Walaupun ia gestur ringkas dan kecil, namun pada saat inilah saya merasakan hubungan watak dengan Tuhan yang paling rapat kerana watak menyerahkan segala pengadilan kepada Tuhan.

Protagonis mengikut tertib ritual pengkebumian yang diketuai oleh Master Long. Foto oleh Calvin Fong.

Dari sudut struktur cerita, penggunaan ritual sebagai kerangka penceritaan merupakan pilihan yang menarik. Ia memberikan lapisan pengalaman yang berbeza kepada penonton, khususnya bagi mereka yang tidak biasa dengan amalan budaya dan keagamaan masyarakat Cina. Saya fikir, Johan mempelajari sesuatu dari kajian dan pemerhatiannya dan melihat ritual yang berbeza ini dari sudut pandang seorang Muslim sebelum menurunkan idea-ideanya ke dalam bentuk drama. Saya percaya, penonton yang tidak arif dan terdedah langsung dengan upacara ini dapat mempelajari sesuatu. 

Dalam hal ini, pementasan ini bukan sekadar menceritakan konflik identiti, tetapi juga membuka ruang kepada penonton untuk menyaksikan proses, simbol dan makna yang terkandung dalam ritual tersebut. Namun, pada masa yang sama, struktur ini juga menghadkan kemungkinan dramatik kerana fokusnya lebih kepada penceritaan pengalaman berbanding konflik yang berkembang secara progresif. Dalam pementasan ini, watak tidak bertembung antara watak dan mendepani konflik tersebut. Konflik dan pertembungan ini wujud dalam bentuk penceritaan, bukan pertemuan langsung antara watak. Hal ini mengendurkan ketegangan dramatik, tetapi pada masa yang sama membuka ruang kepada refleksi moral — sekaligus mengajak penonton untuk sama-sama merenungi perspektif watak-watak ini.

Dari sudut pengarahan, Chee Sek Thim memilih pendekatan minimalis yang jelas. Penggunaan hanya dua kerusi dan sebuah kotak kayu sebagai elemen utama pentas menuntut imaginasi penonton untuk menerima representasi yang ditawarkan. Kotak kayu yang melambangkan keranda, walaupun bersaiz kecil, berjaya diterima sebagai simbol melalui konvensi teater. Pendekatan ini menunjukkan keyakinan terhadap bahasa teater yang tidak bergantung kepada realisme semata-mata, tetapi kepada persetujuan bersama antara pelakon dan penonton.

Watak Ibu dengan kostum serba putih dan Master Long dengan kostum yang inovatif. Foto oleh Meshal Photography

Pilihan kostum juga memperlihatkan usaha untuk mencipta ruang tafsiran yang lebih luas. Semasa menonton, saya pada awalnya menganggap watak utama ialah seorang wanita yang dipakaikan kostum yang menonjolkan maskuliniti. Namun, apabila membaca sinopsis dalam bahasa Inggeris, penggunaan kata ganti he/his jelas menunjukkan bahawa watak tersebut ditulis sebagai lelaki, meskipun dilakonkan oleh pelakon wanita. Saya tidak melihat hal ini sebagai satu masalah, malah ia membuktikan bahawa pilihan pengarah untuk menggunakan pelakon wanita bagi memerankan watak lelaki tidak memberi kesan yang signifikan terhadap pembacaan isu dan tema perkauman yang diketengahkan dalam naskhah ini. Sebaliknya, saya melihat terdapat satu lapisan makna tambahan dalam pemilihan ini — watak tersebut bukan sahaja memikul beban sebagai individu daripada latar kaum minoriti, tetapi juga secara implisit menanggung stereotaip sebagai “kelas kedua” dari sudut gender dalam pandangan masyarakat — sesuatu yang turut diwarisi daripada ibunya.

Watak ibu pula yang berpakaian dress serba putih dengan kain putih seolah selendang yang dijahit bersama baju mencerminkan proses peralihan identiti — daripada latar Cina kepada Islam — namun tidak digambarkan secara literal sebagai Melayu. Sementara itu, watak Master Long yang memakai kostum ritual dengan fabrik batik dan potongan yang kabur dari segi gender memperlihatkan satu bentuk hibriditi yang lebih kompleks. Saya sedar ia bukan pakaian tradisional yang biasa tetapi telah direka khas untuk mencerminkan watak atau suasana yang aneh, surrealistik dan kabur. Ia mempunyai representasi budaya Cina, tetapi juga satu bentuk adaptasi yang mencerminkan realiti masyarakat majmuk.

Dari segi pergerakan dan penggunaan tubuh, pementasan ini memasukkan elemen teater fizikal secara sederhana. Ia tidak sepenuhnya berfungsi sebagai teater fizikal, tetapi cukup untuk mengganggu sedikit persepsi realisme dan meletakkan pementasan ini dalam bentuk yang lebih presentational. Namun, pendekatan ini terasa agak konvensional, atau dalam istilah mudah, old school. Pergerakan yang digunakan, walaupun kemas dan teratur, tidak menawarkan sesuatu yang benar-benar segar kepada penonton yang sudah biasa dengan bahasa teater sebegini. 

Namun saya juga terfikir, adakah pendekatan old school ini merupakan satu kelemahan? Adakah pengulangan pendekatan ini menandakan kekurangan mutu? Seolah-olah teater fizikal yang semacam itu tidak patut dibuat lagi pada zaman sekarang? Pada hemat saya, ia bukanlah satu masalah yang mutlak. Ia lebih kepada persoalan citarasa dan pendedahan. Bagi penonton yang kurang terdedah kepada pelbagai bentuk estetika teater, pendekatan ini mungkin masih terasa menarik dan berkesan. Namun, bagi penonton yang sering mengikuti perkembangan teater kontemporari, ia mungkin dilihat sebagai satu pengulangan bahasa yang sudah biasa.

Salah satu adegan menggunakan fizikaliti pelakon bagi meningkatkan pengalaman teaterikal. Foto oleh Meshal Photography.

Apa yang penting ialah sejauh mana pendekatan tersebut berfungsi dalam konteks naskhah. Dalam hal ini, pengarahan Chee Sek Thim boleh dikatakan berjaya mengekalkan ketegangan emosi yang sesuai dengan premis cerita. Kematian sebagai tema utama memerlukan satu nada yang lebih tenang dan reflektif, dan pementasan ini berjaya mengekalkan suasana tersebut tanpa menjadi terlalu dramatik atau melodramatik. Ketegangan yang wujud adalah terkawal — tidak terlalu tinggi, tetapi cukup untuk mengekalkan perhatian penonton.

Ini juga selari dengan kecenderungan kolaborasi antara Chee Sek Thim dan Johan Othman yang pernah dapat dilihat dalam karya mereka sebelum ini, seperti Malam Takdir. Kedua-dua mereka nampaknya konsisten dalam meneroka tema budaya, agama dan identiti dalam masyarakat Malaysia, dengan pendekatan yang berhati-hati dan penuh hormat. Mereka tidak menjadikan isu keharmonian kaum sebagai sesuatu yang kosmetik atau bersifat propaganda, sebaliknya cuba menelusuri kerumitan sebenar yang wujud dalam kehidupan seharian.

Dua Darah, dalam konteks ini, tidak menawarkan jawapan yang jelas terhadap persoalan yang dibangkitkan oleh watak secara literal. Sebaliknya, ia membuka ruang untuk renungan. Protagonis tidak digambarkan sebagai hero yang berjaya menyelesaikan konflik, tetapi sebagai individu yang berusaha memahami dan menerima keadaan dirinya. Johan seolah-olah mengemukakan satu kenyataan bahawa dalam pertembungan budaya dan agama di Malaysia, kita perlu menerima hakikat bahawa salah satu daripadanya akan perlahan-lahan lenyap — bukan semata-mata secara semula jadi, tetapi melalui tekanan struktur sosial dan keagamaan yang menentukan identiti mana yang boleh terus hidup, dan mana yang perlu mengalah. Hal ini disimbolkan melalui kematian ibu saudara berbangsa Cina — walau betapa generasi pertama dalam perkahwinan campur ini berusaha ‘mempertahankan’ budaya daripada satu sisi darahnya, dia tetap berhadapan dengan realiti bahawa sebahagian daripadanya akan terhakis. Ritual pengkebumian tersebut bukan sekadar satu peristiwa, tetapi menjadi proses awal protagonis berkabung — melambai pergi sebahagian daripada identiti yang wujud dalam dirinya.

Pementasan ini seolah-olah menyatakan bahawa rasa asing itu tidak dapat dielakkan dalam masyarakat majmuk, dan yang lebih penting ialah kesediaan untuk mengakui serta menghargai perbezaan tersebut. Pengarah berjaya mengimbangi dan mengawal tona pementasan yang berpotensi dianggap sensitif oleh sebahagian penonton. Namun begitu, kekuatan inilah yang pada masa yang sama menjadi batasannya. Pendekatan yang terlalu terkawal menyebabkan pementasan ini kadangkala terasa kurang mendesak. Tiada detik yang benar-benar mencabar penonton secara emosi atau intelektual. Segala-galanya bergerak dalam nada yang stabil — yang walaupun selari dengan tema, akhirnya membuatkan pengalaman menonton terasa sedikit datar.

Salah satu adegan yang memaparkan kesayuan dan keheningan. Foto oleh Meshal Photography.

Secara keseluruhannya, Dua Darah merupakan sebuah pementasan yang kemas, jujur dan reflektif. Ia tidak cuba untuk mengejutkan atau memprovokasi secara agresif, tetapi lebih kepada mengajak penonton untuk melihat dan merenung. Dalam landskap teater Malaysia, karya sebegini masih penting kerana ia menyumbang kepada perbincangan tentang identiti, budaya dan kehidupan bersama dalam masyarakat yang pelbagai.

Mungkin persoalan yang lebih besar bukanlah sama ada pementasan ini cukup segar atau tidak, tetapi sejauh mana kita sebagai penonton bersedia untuk terus mendengar cerita-cerita yang berulang ini dalam bentuk yang berbeza. Kerana dalam pengulangan itu, mungkin terdapat lapisan-lapisan makna yang belum selesai kita fahami. 


Thanks to Meshal Photography and Calvin Fong for all the photographs.

Fasyali Fadzly merupakan seorang pengarah teater, dramatis, penyelidik dan pensyarah. Beliau telah banyak terlibat dalam bidang pengarahan, penulisan dan penterjemahan, dengan hasil karya dan sumbangan akademik yang telah dipersembahkan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Eceran, ulasan dan esei beliau telah diterbitkan di pelbagai platform digital dan penerbitan majalah. Beliau juga merupakan salah seorang penyelidik untuk laman web MY Art Memory Project, selain memberi khidmat kepada komuniti seni persembahan sebagai panel pemberi geran, ahli juri dan moderator. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam bidang teater di Universiti Malaya, dengan penyelidikan tentang pendekatan alternatif dalam penulisan sejarah teater Malaysia.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *