Keinsafan, Perjuangan, dan Kesyukuran: Ciptaan Tari Kontemporari di PenTAS 2019, UPSI

Wave of Waste II

PenTAS 2019

20 April 2019
Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan,
Universiti Perdidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak

 

Daripada Leng Poh Gee

Apabila diberi peluang untuk mencipta dunia mereka sendiri, bagaimanakah rupanya utopia generasi muda? Sejenis sikap optimistik boleh diperhatikan melalui enam hasil karya tari yang dipentaskan oleh 17 orang calon program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Tari) dari UPSI untuk memenuhi penilaian pengijazahan akhir mereka. Kesemua kreasi mereka adalah dalam bentuk tari kontemporari yang telah dipersetujui oleh penyelia masing-masing, dan mereka perlu melaksanakan segala urusan penganjuran pementasan tersebut.

Pada tahun ini, masa untuk persediaan produksi adalah singkat kerana ingin mengelakkan keberlangsungan pementasan ini berlaku pada bulan Ramadhan. Berbeza daripada amalan lepas, calon-calon ini tidak menghasilkan karya secara individu, tetapi menghasilkan kreasi secara berkumpulan demi meringankan beban calon, penari dan penyelia.

‘Wave of Waste’ yang dihasilkan oleh Nickolette Madaun, Jecq Marlisa Latip @ Thomas dan Ayuranny Masibun membuka tirai PenTAS 2019. Kawasan pentas diliputi dengan empat helai plastik biru yang panjang, dan penari disamarkan seperti makhluk lautan yang tidak dikenalpasti. Ketenangan lautan pada mulanya dipamerkan melalui aksi imbang-mengimbangi (counterbalance) di antara penari, serta ikatan berputaran yang harmoni. Penari kemudiannya semakin bergerak secara agresif dan rawak, berlari secara berselerak, menggulingkan diri dengan plastik biru, sehingga ke akhirnya ditenggelami bersama longgokan plastik biru. Penari mengekalkan penggayaan perjalanan yang sustained (bertahan) dan grounded (berkeberatan) sepanjang masa, bagai sifat kesabaran lautan yang masih bertahan dengan peranan manusia yang merosakkan alam semula jadi, dan menanti-nantikan keinsafan manusia. Penyampaian mesej adalah jelas dengan bantuan paparan imej projektor, daripada lautan yang tenang sehingga ke pantai yang cemar.

Mistake I

Karya kedua, ‘Mistake’, merupakan satu kreasi trio yang direkakan oleh Syahidatul Amira Azmi, Sufizah Abarin dan Karen Angelina Lim Kar Leng. Tari dimulakan dengan paparan penderitaan tiga penghidap penyakit insomnia melalui manipulasi bantal dengan muzik latar rancak dan ceria. Gaya karya ini kemudian bertukar secara mendadak menjadi murung. Tanpa sebarang niat yang ingin memisterikan keadaan, tayangan video pendek telah menunjukkan bagaimana penari utama (dimainkan oleh Awangku) telah membunuh seorang gadis. Kekesalan atas dosa membunuh merupakan punca bagi penyakit insomnia penari. Wajah mangsa pembunuhan ditayangkan secara rawak untuk ‘menakutkan’ para penari. Saya menginterpretasikan bahawa kedua-dua penari sokongan sebenarnya merupakan suara dalaman Awangku yang ingin meminta ampun. Kisah ini diakhiri dengan penutupan kepala Awangku dengan sarung bantal hitam, sebagai tanda hukuman gantung oleh pihak berkuasa, demi menebuskan dosanya.

Cara penceritaan kedua-dua karya ini adalah bersifat linear dan mudah difahami, dengan bantuan paparan imej yang berkaitan. Kedua-dua karya ini tiada sebarang kejutan dari aspek susunan komposisi, namun telah melengkapkan sesuatu penceritaan secara naratif melalui gerak dengan kemas.

Setelah meneliti kedua-dua karya ini, saya mendapati bahawa kebetulan keenam-enam repertoir ini sebenarnya boleh dikategorikan ke dalam tiga tema yang khusus. ‘Wave of Waste’ dan ‘Mistake’ adalah bertemakan koreografi sebagai keinsafan, yang menghubungkaitkan tari dengan penebusan dosa dan seruan untuk bertaubat. Manakala tema koreografi sebagai manifestasi tuduhan dan koreografi sebagai perwujudan alam akan diperbincangkan seterusnya.

Negaraku II‘Negaraku’ adalah hasil daripada Tenny Anak Pandan, Raphaella Augustine dan Nor Suhada Bt. Mohammad Sudi, yang menuduh berlakunya penindasan dan peminggiran sesetengah golongan rakyat akibat daripada proses urbanisasi. Suratkhabar sebagai peralatan utama telah dimanipulasikan dengan pelbagai cara simbolik: seorang penari berdiri di atas dua timbunan suratkhabar tinggi (bersinonim dengan Menara KLCC) yang menunjukkan kuasa ekonomik dan politik; suratkhabar tipis yang hanya dapat menutupi kepala seperti pondok kediaman yang usang; sebagai beban kerja yang harus dipikul berulangan; sebagai wang tunai yang boleh ditabur ke merata-rata tempat dan kemudiannya direbut-rebut oleh orang ramai yang tamak. Gabungan yang bijak di antara cara manipulasi suratkhabar yang disebut, penghujahan senarai skim umpanan yang disyaki memperdayakan rakyat, serta paparan berita isu-isu ekoran daripada proses urbanisasi seperti pengangguran dan penyakit mental, telah memperkayakan kesan-kesan visual karya.

Nur Russnieyati Mohd Din, Rozella Rina Goh dan Emelina Anak Pok bersama-sama menghasilkan ‘Tarik-tarik’ yang memanipulasikan tali elastik, dan ingin cuba menghuraikan hubungan kuasa hierarki di antara manusia yang menarik/mengarah/mengekploitasi, dan golongan yang ditarik/dimanipulasi/dipinggirkan. Saya mendapati perekaan kostum tari yang berwarna hitam adalah padan sekali dengan elastik putih. Dalam perekaan pergerakan pula, kebanyakan aksi interpretasi tali elastik tertumpu pada ikatan antara bahagian kaki dan tangan diri sendiri sahaja, dan tidak menerokai kemungkinan yang lebih luas untuk menunjukkan kuasa dan momentum tarik-ditarik di antara dua atau lebih individu/bahagian badan. Sebagai contoh, kesan wayang yang dipermainkan boleh meniru cara permainan patung boneka yang turut dihasilkan melalui kuasa tarik dan ditarik. Saya berasa sayang sekali kerana idea pengkaryaan yang boleh menyuarakan manifestasi tuduhan terhadap ketidakadilan hierarki masyarakat telah dijadikan sebuah tari gerak sepenuhnya (pure movement) sahaja.

Tarik-tarik II

Tema koreografi sebagai perwujudan alam terdiri daripada dua karya: ‘Thanksgiving’ yang dihasilkan oleh Avelim Mosikul dan Edrin Ahia, serta ‘Singgah’ yang direkakan oleh Aiman Haziq, Nora Kana dan Suzne Angansak. ‘Thanksgiving’ menciptakan satu siri upacara puja yang bermula daripada memuji ciri-ciri kepahlawanan kelelakian, menghormati kualiti keayuan feminin, dan diakhiri dengan perayaan kesyukuran yang sederhana. Saya mencadangkan bahawa kemeriahan upacara imaginasi ini boleh dilebih-lebihkan demi mencapai alam ritual yang sepatutnya bertenaga dan/atau menakutkan, dan berfungsi untuk menyemarakkan perasaan kebersamaan dan kesejatian sesuatu alam komuniti.

‘Singgah’ merupakan sebuah karya yang memuja alam semula jadi hutan tropikal melalui pelaksanaan gaya dan bentuk motif gerak yang dijanakan daripada kehidupan fauna dan flora. Kemegahan terbangan burung dan lompatan harimau, serta keindahan kembangan bunga dan tegakan pohon yang dianggap suci dan sakti telah dipersembahkan demi melafazkan kesyukuran penikmatan alam di samping meminta keberkatan untuk diri sendiri. Saya berasa karya ini walaupun menekan aspek kesan estetik untuk menarikkan perhatian penonton, ia kurang mementingkan konteks hubungkaitan antara makhluk-makhluk dan alam yang telah diciptakan.

Thanksgiving II

Secara keseluruhan, PenTAS 2019 merupakan satu produksi yang senang difahami, terutama bagi penonton yang baru mengenali tari kontemporari. Pelaksanaan teknik tari kontemporari terutamanya nuansa transisi antara pergerakan boleh diperhalusi demi mencapai kelancaran yang mengambil kira momentum gerak dan amalan keselamatan tari (safe dance practise). Secara jujurnya, saya lebih mementingkan kemahiran penyuntingan muzik yang lancar seperti ia dirakamkan secara asli, lebih daripada kemahiran perekaan imej pancaran projektor yang lazimnya didapati daripada pencarian Google.

Semasa finale persembahan, saya melihat senyuman yang puas daripada wajah sesetengah ibu bapa calon yang hadir. Saya dapat merasai kebanggaan mereka. Kebanggaan bukan kerana anak mereka akan bergraduan sebagai seorang koreografer, namun kebanggaan mereka berpunca daripada pembangunan kendiri dan kematangan yang diperolehi oleh anak mereka selama pengajian tiga tahun ini – sekurang-kurangnya mereka menyedari niat kreasi tari anak mereka adalah sebahagian daripada nilai kemanusiaan: keinsafan kendiri, perjuangan untuk yang terpinggir, serta penghargaan terhadap beradaan alam semasa. Saya turut senyum dan bangga.

Singgah II


Semua foto dibekalkan oleh Unit Teknikal dan Produksi FMSP, UPSI.

Leng Poh Gee juga merupakan seorang ahli Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Perdidikan Sultan Idris, yang tidak terlibat di dalam produksi ini tetapi sibuk menjaga tepi kain orang lain dalam penyeliaan perekaan penataan cahaya.


One comment

  1. Satu penulisan apresiasi yang mudah difahami tetapi mempunyai daya kritikal pemikiran yang baik sewaktu menghujahkan karya persembahan. Tahniah Master Lee Poh Gee.

Leave a Reply to Edi hashim Cancel reply

Your email address will not be published.