Daripada Arkib Menjadi Repertoir – ‘A Notional History’

Photo by George Town Festival

A Notional History

Five Arts Centre
GMBB Kuala Lumpur
23-26 June 2022

 

Ulasan ditulis oleh Fasyali Fadzly

 

Dalam keterangan bio, Mark Teh sentiasa menggelarkan dirinya sebagai performance maker atau pembikin persembahan, bukan pengarah teater – walhal kebanyakan karya yang dihasilkan dia bertindak sebagai pengarah. Begitu juga dengan A Notional History yang baru dipersembahkan, Mark dikreditkan sebagai pengarah. Persembahan ini dibuat pada 23 hingga 26 Jun 2022 di ruang baharu Five Arts Centre di GMBB Mall. Setelah berpindah dari rumah kedai di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Five Arts Centre kini berpangkalan di tingkat sembilan sebuah pusat membeli belah di tengah ibu kota.

A Notional History merupakan persembahan baharu yang diarahkan oleh Mark Teh dan dipersembahkan oleh Rahmah Pauzi, Fahmi Reza dan Faiq Syazwan Kuhiri. Persembahan ini telah menjelajah ke beberapa buah negara sejak tahun 2019 sebelum dipentaskan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Persembahan ini turut pernah dipentaskan di festival kesenian di Jepun, Indonesia dan Belgium. Akibat daripada pandemik Covid-19, siri jelajah mereka tergendala.

A Notional History membentangkan kepada penonton tentang sejarah Malaysia yang dipadam. Berdasarkan futej dokumentari yang diarahkan oleh Fahmi Reza yang gagal disiapkan, Rahmah Pauzi meneliti, membongkar dan menganalisa temubual-temubual yang pernah dibuat terhadap bekas pejuang haluan kiri yang kini menetap dalam buangan. Rahmah yang bertugas sebagai wartawan dan juga pembikin filem dokumentari menggunakan kemahirannya membentangkan tentang apa yang dijumpai semasa meneliti futej dokumentari yang gagal disiapkan itu.

Fahmi Reza pula membentangkan tentang kajian sejarah yang dibuat serta pengalamannya terlibat dalam kajian bebas mengenai sejarah perlembagaan rakyat. Kegiatan Fahmi dalam kerja-kerja grafiknya tidak perlu dihuraikan panjang lebar. Beliau banyak menggunakan medium media sosial dalam mengkritik salah guna kuasa, ketirisan dan hal-hal hipokrasi ahli politik dan kuasawan negara. Fahmi sebelum ini terlibat sebagai pelaku (performer) dalam produksi Mark yang lain iaitu Baling, yang turut telah menjelajah ke beberapa buah negara, dan juga Version 2020.

Faiq Syazwan Kuhiri pula mengisi persembahan ini dengan alunan muziknya. Beliau yang pernah berkhidmat di sebuah stesen radio tempatan, dan kini menjadi ahli terbaharu Five Arts Centre, adalah seorang pemuzik dan penyanyi dalam kugiran Terror. Faiq juga turut terlibat secara konsisten sebagai kolaborator dalam beberapa repertoir Mark Teh sebelum ini.

A Notional History adalah persembahan yang membentang sejarah alternatif yang tidak diceritakan di dalam buku teks Sejarah yang digunakan di sekolah-sekolah ataupun diceritakan secara umum. Teater ini bukan dibangunkan dalam bentuk karya fiksyen tetapi sebagai sebuah teater dokumentari. Persembahan teater dokumentari mungkin agak asing bagi penonton-penonton di Malaysia tetapi Mark Teh secara konsisten menggunakan bentuk teater ini dalam menyampaikan wacananya – begitu juga dalam teater-teater arahannya sebelum ini. Pelaku-pelaku di dalam teaternya tidak melakonkan watak-watak ciptaan tetapi menjadi mereka sendiri. Mereka memerankan diri mereka sendiri sebagai wartawan, pemuzik, pereka grafik – mereka arif dan pakar dalam peranan sosial mereka – social expert. Tidak seperti teater konvensional yang mana pelakon melakonkan watak ciptaan di atas pentas, Mark Teh kurang berminat menggunakan pendekatan sebegitu. Pelaku di dalam teaternya menjadi diri sendiri dan tidak berlakon sebaliknya berlakuan berdasarkan fungsi mereka di dalam masyarakat. Persembahan mereka tidak bersandarkan pengalaman orang lain dan imaginasi mereka tidak dicipta bagi memenuhi kehendak watak sebaliknya dispekulasi. Ruang imaginasi pelaku lebih digunakan untuk bertanya hal-hal yang lebih objektif dan idealistik.

Photo by Komunitas Salihara/Witjak Widi

Lakuan Rahmah dilihat begitu meyakinkan dalam menceritakan pengalamannya meneliti dan memahami sejarah negara yang tersorok dalam futej-futej filem yang tidak siap. Penonton mengikuti perjalanannya dan proses pencerahan yang berlaku dalam dirinya. Sudah tentu, melalui perjalanannya ini membentuk naratif yang bersifat peribadi namun ia bukan pengalaman dirinya sahaja malah sebuah sejarah yang dikongsi atau shared history. Kita adalah Rahmah yang sedang cuba bertanya-tanya tentang sejarah yang tidak diceritakan ini. Rahmah berasa tidak senang dengan sejarah awam yang terbungkam. Pencarian dan pemaknaan sejarah baginya adalah bersifat internal dan peribadi.

Pada mulanya cerita setiap mereka dilihat terasing antara satu sama lain. Rahmah dengan proses pencarian bermula dengan futej dokumentari filem tak siap, Fahmi dengan minatnya yang mendalam dalam sejarah alternatif. Bagaimana pula dengan Faiq?

Selepas menonton, saya tanyakan kepada rakan-rakan yang turut sama menonton pada persembahan hari Jumaat. Adakah persembahan ini akan menarik sekiranya tiada Faiq yang menyumbangkan muzik untuk persembahan ini. Nah! Kami semua bersetuju bahawa muzik memainkan peranan penting di dalam persembahan ini. Persembahan dibuka dan ditutup dengan petikan ukelele dan nyanyian lirik I remember (aku teringat) berulang-ulang kali. Ini digunakan untuk mencipta suasana atau mood persembahan secara keseluruhan. Ia penting kerana ia menjadikan persembahan ini lebih objektif dan bukan propaganda kiri atau komunis. Melodi dan lirik yang dinukil Faiq juga menterjemah trauma yang dialami oleh semua social expert di dalam persembahan ini. Ia dilagukan bagi menterjemah bebanan generasi yang dipikul walaupun kejadian ini telah berlaku lama dahulu sebelum semua pelaku lahir.

10. A Notional History, Jakarta 2019 (2), photo by Komunitas Salihara_Witjak Widi

Trauma apa yang dialami mereka? Trauma ancaman komunis? Ancaman penjajah British? Berdasarkan huraian dalam persembahan ini, saya melihat tubuh, suara dan minda mereka (dan mungkin kita semua) mengalami trauma dari regim yang cuba memadamkan sejarah terselindung negara, sejarah yang dipilih-pilih untuk dibentangkan kepada masyarakat massa melalui pendidikan di sekolah. Seterusnya, ketiga-tiga mereka telah mengalami proses pencerahan dari sejarah palsu itu. Trauma inilah yang menjadi akar dalam persembahan yang diarahkan Mark.

Ketika Fahmi Reza membentangkan pengalaman dan ceritanya terlibat di dalam satu forum mengenai kandungan Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 edisi terkini, forum tersebut diganggu oleh beberapa penonton yang menolak sumbangan politik kiri di dalam proses Malaya mencapai kemerdekaan. Dialog dan aksi yang ditonjolkan oleh Fahmi dalam bahagian ini benar-benar menunjukkan yang beliau seolah-olah keletihan, payau dan lesu dengan naratif sejarah yang menjadi dominan dalam masyarakat massa. Penonton forum itu yang bersuara dan menjerit (walau tidak menggunakan mikrofon seperti ahli panel yang lain), ‘suara’ mereka lebih lantang mempertahankan dominasi sejarah massa yang lebih selektif. Respon Fahmi selepas klip video itu ditayangkan juga menunjukkan tubuhnya yang dibebani tuduhan, ugutan dan ancaman pihak yang tidak senang dengan sejarah alternatif yang dicadangkan.

Mark mendedahkan kepada kita sejarah negara ini ditempa oleh orang yang menang sekaligus membungkam sejarah kiri, marginal dan alternatif. Orang yang menang itu kemudiannya menyambung legasi penjajah dengan menindas sekaligus membisukan suara dan sejarah alternatif – hanya memilih sejarah yang dilihat penting untuk kepentingan mereka. Masyarakat akhirnya membesar dalam ‘didikan’ regim pembuli ini meninggalkan trauma bagi mereka yang mahu pencerahan yang sebenar-benarnya. Para pelaku dalam A Notional History bersetuju bahawa sejarah yang dikarang pembuli juga ada kebenarannya, namun ia bersifat selektif, tidak menyeluruh dan lompong, dan perlu dilihat semula.

Apa yang menariknya, persembahan ini melihat sejarah dengan kanta objektif dan tidak cuba untuk membela perjuangan kiri sepenuhnya. Mereka mengakui bahawa perjuangan kiri didorongi keganasan dan ekstremisme. Namun, yang membezakan ialah A Notional History tidak selektif dalam membentangkan sejarah. Ia menjadikan proses pensejarahan menjadi lebih demokratik, terbuka dan objektif.

Photo by George Town Festival.

A Notional History juga mengimbau pengalaman kita sebagai murid sekolah yang sedang belajar mata pelajaran Sejarah. Papan hijau, kapur, slide pembentangan dan video menjadi ‘alat bantu mengajar’ bagi persembahan ini. Sedang seorang pelaku memberikan syarahan seakan seorang guru yang mengajar, pelaku lain beraksi seperti pelajar nakal yang dan tidak memberi perhatian dengan menconteng di atas lantai dengan gambar dan imej-imej yang terkait dengan apa yang dibentangkan gurunya. Ada juga ‘murid’ yang mengelamun dan hanyut dalam lagu dan melodi di hujung kelas. Ada kemungkinan ‘murid’ ini sudah mengetahui apa yang ‘guru’ mereka sampaikan dan ambil tidak endah dengan syarahan gurunya. Hanya ‘murid’ nerda yang mahu belajar sahaja memberikan perhatian. Malah penonton yang hadir pada setiap malam itulah sebenarnya murid nerda. Rekaan produksi yang dibikin oleh Wong Tay Sy walaupun tampak sederhana tetapi divisualkan dengan penuh berhati-hati dan berfalsafah. Ruang set menjadi demokratik apabila para pelaku turut menyumbangkan visual mereka di atas lantai hijau untuk diconteng, diisi dengan tanggapan-tanggapan lain oleh pelaku bertiga.

Rekaan media yang dihasilkan oleh Syamsul Azhar amat menarik. Ketika helaian-helaian buku teks diselak, pancaran imej yang ditangkap langsung dari kamera video terpampang di skrin di bahagian belakang pentas. Ia secara konsisten untuk beberapa babak sehinggalah di bahagian akhir di mana gambar-gambar di dalam buku teks bertukar dengan gambar-gambar baharu dari sejarah baharu yang dibentangkan. Menggunakan teknik tampalan atau superimpose, gambar-gambar tokoh pejuang kiri turut terpampang di helaian-helaian baharu yang diselak. Visual yang ‘ditampal’ di atas video menjadi semakin provokatif dengan gambar-gambar yang lebih terkini termasuk mereka yang terlibat di dalam pementasan ini dan produksi teater Baling. Ia adalah sejarah terkini yang mereka ‘cadangkan’ perlu dimasukkan di dalam buku Sejarah. Sehinggalah ke akhir pementasan, buku teks Sejarah itu akhirnya kosong, tidak mengandungi apa-apa tulisan dan visual seolah memberi gambaran bahawa masih terdapat lagi sejarah yang belum lagi diterokai dan perlu kita isi sendiri. Di sinilah pertalian tema sejarah, masa kini dan masa depan terjalin. Sejarah dikaji dan dibentang bukan sekadar sentimen nostalgik tetapi demi pembentukan masa depan yang lebih dinamik.

A Notional History akan menjadi sebahagian repertoir Five Arts Centre dan juga Mark Teh. Kajian-kajian arkib yang telah pun bermula sejak mereka menganjurkan Emergency Festival pada tahun 2008 telah membuahkan beberapa trajektori. Atau mungkin juga kajian arkib ini bermula sebelum itu lagi, semasa Mark Teh menjadi penolong penerbit untuk sebuah filem dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza yang terbit pada tahun 2007, atau mungkin juga sebelum itu lagi, semasa Mark membaca buku teks Sejarah semasa bersekolah. Walaupun apa yang terlihat di atas pentas mungkin refleksi dari para pelaku yang menyampaikan cerita, berita dan derita dari pengalaman mereka, Mark secara berhati-hati menyusun, memilih dan mengarang persembahan ini supaya sejarah yang dibentangkan menjadi lebih objektif dan terbuka untuk semua. Selain arkib-arkib dalam bentuk material, Mark juga berjaya menggali arkib yang tertanam dalam tubuh pelaku yang trauma akibat penindasan regim dan legasinya di dalam persembahan ini – trauma ditipu sejarah masyarakat massa dan hegemoni kuasawan. Hal ini tidak mungkin akan terdedah jika bukan di dalam bentuk persembahan teater dokumentari A Notional History.

Photo by George Town Festival


Fasyali Fadzly adalah seorang penggemar teater yang kadang-kala menulis skrip dan mengarah teater secara kecil-kecilan. Beliau kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Foto oleh George Town Festival dan Komunitas Salihara/Witjak Widi, ihsan Five Arts Centre.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *