Harapan Baharu dalam Teater Kontemporari Malaysia melalui ‘Teater Modular’

modular1

Teater Modular

Ditulis oleh Ridhwan Saidi
Diarahkan oleh Hannan Barakbah, Amirul Shakir, Ridhwan Saidi dan Walid Ali

4–8 April 2018
KongsiKL

 

Review by Fasyali Fadzly

Ridhwan Saidi pernah menyatakan teater adalah pertemuan sastera dan arsitektur. Melalui siri Teater Modular, Ridhwan masih membuktikan pernyataan ini dengan mencuba pelbagai ruang asing (untuk pementasan teater) untuk dijadikan ruang mementaskan naskhah-naskhahnya. Siri ketiga Teater Modular mengambil tempat di KongsiKL, sebuah bekas kilang atau gudang lama yang terletak di pinggir Kuala Lumpur. Ini merupakan kali kedua saya menyaksikan pementasan di sini setelah menyaksikan Layang yang dipersembahkan oleh Kolektif Main Wayang Februari yang lalu.

Siri Teater Modular ditulis dan diterbitkan oleh Ridhwan Saidi melalui penerbitan Moka Mocha Ink. Siri pertama yang mula dipentaskan pada tahun lalu meletakkan Ridhwan sebagai penulis teater kontemporari yang perlu diberikan perhatian. Bermula dengan menulis novel, esei, cerpen, puisi dan sebagainya, Ridhwan kemudian memilih untuk menulis playlet. Sehingga kini, beliau telah menulis 13 playlet yang sedia untuk dibukukan. Untuk siri ketiga Teater Modular, beliau menghasilkan lagi empat buah playlet bertajuk Kurator Dapur (arahan Hannan Barakbah), Erti Mati (arahan Amirul Syakir), Hotel Berdarah (arahan Ridhwan Saidi) dan Sesuap Kasih (arahan Walid Ali). Kesemua pengarah yang terlibat pernah mengendalikan naskhah Ridhwan sebelum ini samada sebagai pengarah, pelakon dan kru pentas.

modular5sm

Kurator Dapur menceritakan tentang sepasang suami isteri yang membahagi-bahagikan barangan dapur mereka mengikut kategori politik, agama dan seks. Ketiga-tiga kategori ini juga menjadi tema kegemaran Ridhwan dalam penulisan siri Teater Modular. Kini, melalui Kurator Dapur tema ini semakin jelas terdengar di dalam dialog dan tidak disembunyikan di balik tema dan persoalan naskhah. Hannan yang bertindak sebagai pengarah juga bijak menggarap teks ini menjadi lebih ganjil bersesuaian dengan dialog-dialog surreal Ridhwan. Pemilihan pelakon yang melakonkan jantina bertentangan (cross-gender casting) juga dilihat sebagai satu tindakbalas tentang fungsi gender yang terhapus dalam dunia ciptaan Hannan. Props nenas yang menggantikan durian juga lebih menjadikan realiti playlet ini semakin tidak wujud. Realiti yang cuba dianjurkan oleh Hannan penuh kecamuk dan keganjilan.

Playlet kedua yang dipentaskan pula adalah Erti Mati. Ia menceritakan tentang dua watak bernama Tsabur dan Izrail yang saling berhujah dan menerangkan tentang erti mati di hadapan sebuah meja makan. Menggunakan nama-nama yang boleh ditemui dalam agama monotheis, dua watak ini dipakaikan pakaian kemas bersut lengkap seolah-olah ia sebuah peradaban yang keluar dari konteks Malaysia. Sekali lagi ia nampak asing dengan realiti yang biasa disajikan dalam teater-teater Malaysia. Melalui playlet ini, Ridhwan tidak teragak-agak menggunakan perkataan-perkataan yang ‘besar’ maknanya berbanding percakapan seharian masyarakatnya. Perkataan seperti transendental, individualiti, kewujudan, kematian dan kontradiksi digunakan dengan meluas dan penuh filosofikal. Analogi yang dibuat oleh watak juga digunakan dengan penuh kewajaran dan berhati-hati demi mewujudkan dialektisme yang tidak berat sebelah. Ia sebuah playlet absurd yang tidak teragak-agak dan sangat berani, bercakap tentang hal kematian di luar konteks agama. Lakonan Roshafiq Roslee yang melakonkan watak Tsabur yang penuh bongkak betul-betul berkesan. Pemilihan aksi yang minimal dan bersahaja memberi kesan kepada hubungan antara dua watak ini yang mempunyai ideologi yang sangat berbeza. Gestur tubuhnya juga dibentuk supaya kita tahu yang watak ini mempunyai kekuatan dari segi pemikiran bukan dari segi fizikal.

modular10

Teater seterusnya beralih kepada Hotel Berdarah arahan Ridhwan Saidi sendiri. Ia menceritakan seorang Setiausaha (juga seorang isteri), yang curang kepada seorang lelaki berpangkat Datuk. Playlet ini bagaimanapun terbahagi kepada tiga babak kecil: 1) babak Wartawan dan Datuk; 2) konspirasi Datuk dan Setiausaha; 3) Setiausaha dan Suami. Berbanding dengan dua playlet sebelum ini, naskhah ini lebih bertumpu kepada naratif berbanding perbualan filosofikal dan menjadikannya lebih ‘ringan’. Babak pertama ketika Datuk ditemubual oleh Wartawan, dia hanya menjawab ya dan tidak sahaja. Hanya terdapat beberapa soalan sahaja dijawab dengan penerangan. Namun ia tidak bermaksud playlet ini tidak mengandungi garapan menarik. Datuk yang korup ini telah memperdaya seorang isteri untuk berlaku curang terhadap suaminya. Pada babak kedua, Datuk menerangkan tindakan yang dicadangkan kepada Setiausaha untuk membunuh Suami. Pada babak ketiga pula isteri menceritakan tentang mimpinya yang hampir serupa dengan rancangan Datuk mahu membunuh Suami dan membuang mayatnya dari jambatan. Playlet ini mengingatkan saya dengan sebuah skrip pendek Luigi Pirandello, The Vise, yang turut menggunakan teknik cerita dalam cerita dan bercakap tentang hal kecurangan. Hal ini mengakibatkan wujud sebuah pengalaman meta-fiction yang begitu sinonim dengan karya-karya Pirandello. Bezanya, dalam playlet ini Suami tidak menemui kebenaran.

Yang terakhir adalah Sesuap Kasih yang diarahkan oleh Walid Ali. Juga dengan tema kecurangan, Sesuap Kasih menceritakan tentang kisah antara Ghazali dan Latifah semasa perkelahan di air terjun. Kedua-dua mereka sudah berkahwin dan mempunyai keluarga. Playlet ini ditulis dalam nada yang paling ringan di antara kesemua playlet yang dipentaskan dalam siri ini. Ia berkisar tentang hubungan yang lebih realistik di antara dua watak ini. Ridhwan mengambil inspirasi daripada filem klasik Melayu Chinta Kasih Sayang dalam menggarap adegan mengurat yang nakal dan manis. Walaupun kita tahu bahawa kedua-dua watak ini berpotensi berlaku curang, namun sebagai penonton kita begitu teruja dengan permainan kata dan aksi antara dua watak ini. Aksi terakhir apabila Latifah menyuap makanan ke mulut Ghazali adalah kemuncak playlet ini. Walaupun aksinya ringkas dan bersahaja, Ridhwan mempersoal moral penonton dalam perkara ini. Adakah kita akan mempertikaikan kecurangan watak-watak yang sudah berkahwin ini, ataupun kita meraikan cinta baharu yang muncul di antara mereka? Walaupun tampak ringan, persoalan playlet ini sangat filosofikal dari aspek moraliti.

modular6

Sepanjang pementasan ini, penonton akan beranjak tempat duduk dari satu sudut ke sudut yang lain berdasarkan susunan playlet. Ruang bekas gudang yang sangat besar membenarkan mobiliti penonton berlaku dengan mudah. Sangka saya akustik yang tidak seperti panggung konvensional akan mengganggu pementasan ini. Namun, ia memberi pengalaman yang berbeza kerana gema yang terhasil memberikan satu pengalaman keterasingan (isolation) seolah mimpi. Penulisan teks yang surrealistik dan pemilihan lokasi pementasan yang semacam dunia distopia membuktikan teater Ridhwan Saidi adalah pertembungan antara dua elemen seni – sastera dan arsitektur.

Dunia teater ciptaan Ridhwan Saidi terpapar dengan unik dan berani. Keberanian Ridhwan juga terletak kepada pemilihan tema yang jarang disentuh penulis teater berbahasa Melayu – tidak keterlaluan teater Malaysia – pada masa kini. Ridhwan tidak teragak-agak untuk membincangkan perkara yang tabu dalam sosialnya. Perbincangan tentang kecurangan, kematian, kewujudan, filosofi seni, politik, seks, agama dan moral serta banyak lagi menjadi dialog perbualan watak-watak ciptaan Ridhwan Saidi, dengan penuh bergaya dan elegen. Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa Ridhwan adalah harapan baharu teater kontemporari tempatan. Perhatian perlu diberikan kepada hasil penulisan beliau yang akan datang.


Fasyali Fadzly adalah seorang penggemar teater yang kadang-kala menulis skrip dan mengarah teater secara kecil-kecilan. Beliau kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. 

Foto ihsan Moka Mocha Ink.


Leave a Reply

Your email address will not be published.