Mabuk-Mabuk Digital di Dalam Dimensi ‘Layang’

DSCF7396

Layang

Dipersembahkan oleh Main Wayang
10-11 February 2018
KongsiKL, Jalan Kelang Lama

 

review By Fasyali Fadzly

Kolektif Main Wayang terdiri daripada Fairuz Sulaiman, Ayam Fared dan Sudarshan Chandra Kumar. Nama mereka antara karyawan yang mempunyai reputasi yang baik dalam menghasilkan sesuatu karya seni yang membawa kelainan. Dengan latar belakang dan disiplin yang berbeza, mereka menghasilkan sebuah pementasan yang sangat memukau.

Layang adalah hasil kolaborasi secara intensif antara tiga karyawan: Ayam dengan latar belakang teater, Fairuz dalam disiplin multimedia dan Sudarshan disiplin muzik. Persembahan ini dianggap sebagai sebuah persembahan yang bertujuan untuk mempamerkan hasil eksperimentasi mereka. Dengan bantuan kewangan dan tajaan peralatan yang terhad, Layang dipersembahkan di sebuah gudang lama, KongsiKL, yang terletak di pinggir pusat bandar Kuala Lumpur.

Daripada pintu masuk, lilin-lilin terpasang menuju ke tengah kawasan gudang yang mempunyai sebuah layar yang besar. Di kiri, Fairuz duduk menghadap komputer dan segala macam peralatan komputer yang lain. Di sebelah kanan, Sudarshan dengan pelbagai instrumen muzik elektronik. Ayam pula berada di hadapan skrin sambil melakukan pergerakan-pergerakan seolah-olah sebuah penyerahan jiwa kepada sesuatu. Pergerakan yang dibuat berhati-hati dalam kesamaran pentas ini mengundang tafsiran bahawa upacara ritual sedang dilakukan. Pergerakan diulang-ulang sehinggalah Ayam mencapai sebuah remote control dan menekan butang remote itu. Ini detik pertama yang mana hubungan realiti dan maya wujud.

Di segmen seterusnya kita dapat lihat bayang Ayam melalui layar besar. Dengan cahaya dari belakang layar, pergerakan-pergerakannya menunjukkan yang dia terperangkap di dalam dimensi ini. Ayam cuba keluar namun gagal. Lebih teruk, bongkah-bongkah besar dilihat semakin memenuhi dunia yang didiami oleh Ayam. Dia cuba untuk menghalang namun gagal, sehinggalah bongkah terakhir jatuh dan memenuhi ruang dimensi ini dan menghapuskan watak yang terperangkap ini.

DSCF7368

Segmen kedua pula melibatkan interaksi Ayam dengan bayang dalam dunianya sendiri. Ini dilakukan dengan eksplorasi multimedia direka oleh Fairuz Sulaiman, yang membenarkan pancaran imej Ayam di atas layar dipancarkan beberapa kali sehingga menjadi infiniti. Imej pancaran ini juga turut mampu berinteraksi dengan Ayam membuatkan kita percaya bahawa dimensi ini semakin menemui realitinya tersendiri. Ia berlanjutan sehingga Ayam mampu berinteraksi dengan aksi dirinya di atas layar. Adegan ini menimbulkan pengalaman narsisistik. Ayam yang ketika ini seolah-olah berinteraksi dengan dirinya di masa lampau menjadikan dunia yang dicipta itu hanya mengandungi dirinya di masa kini dan dirinya dari masa lalu.

Di segmen seterusnya pula Ayam kembali ke hadapan pentas dengan menggunakan peralatan virtual reality (VR). Matanya tertutup dengan skrin VR dan tangannya memegang alat kawalan yang membolehkan dia melakukan aksi di dalam dimensi yang dia diami. Melalui pancaran di layar, kita dapat lihat satu avatar yang melakukan aksi serupa dengan Ayam. Di saat ini, kita percaya bahawa inilah dimensi yang didiami watak ini walaupun kualiti video dan rekaan grafiknya agak ‘raw’.

Melalui dunia ini, ia seolah-olah melihat avatar Ayam ini meneroka portal yang merakam sejarah hidupnya yang lampau. Terdapat paparan imej dan aksi yang dilakukan di awal-awal adegan bermain di dalam dimensi ini. Ia digambarkan sebagai sebuah distopia digital yang memerangkap manusia daripada menghadapi realiti. Namun, watak ini menemui satu portal yang mana dia berjaya mencari jalan keluar dan menemui satu dunia yang sangat asing iaitu dunia yang kita diami. Watak ini keluar dan berkomunikasi dengan audien. Dengan cara komunikasi yang agak primitif, watak dari dimensi digital ini akhirnya kembali ke hadapan skrin dan melakukan aksi pemujaan seperti di awal adegan. Fairuz dan Sudarshan bangun dari tempat duduk mereka dan menyanyi keriangan menutupi persembahan ini.

DSCF7382

Dunia Layang turut dibina oleh Sudarshan melalui rekaan bunyinya. Pelbagai peralatan muzik komputer dan efek digital dimainkan secara minimal dan tanpa struktur melodi. Susunan muzik yang ditindan-tindankan dan dimainkan berulang-ulang memberi pengalaman kesunyian dan keterasingan. Rekaan bunyi ini juga direka dengan tidak berlebih-lebihan menjadikan dunia yang didiami watak tersebut kelihatan sangat berbeza dengan dunia nyata. Sudar yang turut bermain secara langsung dan memberi tindak balas muzik kepada aksi di ruang persembahan menjadikan komunikasi watak ini lebih terarah dan lebih impulsif. Hanya pada adegan akhir lagu popular dimainkan dan dinyanyikan oleh Fairuz dan Sudar. Bahagian korus lagu Bermulanya di Sini nyanyian asal kumpulan Freedom dinyanyikan bukan sahaja menunjukkan watak Ayam telah menerobos ke dunia nyata tetapi sebagai komentari terhadap kepincangan kedua-dua dunia ini.

Menonton Layang membuatkan kita turut melayangkan fikiran mencari kebenaran dunia yang didiami watak itu. Watak yang dimainkan oleh Ayam telah disampuk teknologi dan terperangkap dalam dunia maya dan digital. Dia yang terasing di dalam dunia ini hanya mampu berinteraksi dengan dirinya sendiri. Ini merupakan satu komentari terhadap generasi masa kini yang semakin narsisis – yang beranggapan dunia tercipta hanyalah seputar tentang dirinya sahaja.

Hal disampuk teknologi ini saya analogikan sama halnya disampuk bunian. Ini kerana secara fizikal, dua entiti (yang disampuk dan yang tidak disampuk) berada di dalam dunia yang nyata. Namun, mereka mengumpul pengalaman dari dunia yang berbeza. Orang yang disampuk mengumpul pengalaman dari dimensi lain, dan orang yang tidak disampuk mengumpul pengalaman dari dimensi yang nyata. Hal ini terjadi dalam Layang di mana watak tersebut telah disampuk teknologi dan memasuki dunia tanpa sedar (mengikut perspektif manusia dalam dimensi sebenar).

Lantaran itu, Layang bukanlah teater yang sekadar menggunakan teknologi dan multimedia sebagai medium komunikasi tetapi membentangkan falsafah yang lebih dalam tentang bagaimana hubungan manusia dengan realitinya dan dimensi yang mereka ciptakan. Layang juga merupakan satu komentari terhadap bagaimana manusia pada zaman ini ketagih bit dan bait serta sentiasa mengambil jalan untuk mabuk-mabuk digital. Fikiran yang melayang-layang di dimensi digital sentiasa mendamaikan bagi sesetengah orang yang beranggapan inilah dimensi yang ideal.

Pementasan ini masih di tahap percubaan tetapi sudah mampu mengemukakan persoalan dan isu yang filosofikal. Saya percaya, dengan sokongan yang sewajarnya, kolektif ini mampu memanipulasi teknologi untuk mencipta bahasa-bahasa teaterikal multimedia yang baharu. Dengan variasi pementasan yang banyak dipentaskan di Lembah Kelang dewasa ini, pementasan Layang tidak sekadar menawarkan kelainan tetapi secara kritis menawarkan alternatif dalam berproduksi.

DSCF7407

Foto ihsan Main Wayang, ditangkap oleh Wong Eng Leong.


Leave a Reply

Your email address will not be published.