Jamuan Visual dan Imej dalam ‘Kenduri Kendara’

IMG_0354

Kenduri Kendara

Presented by The Keepers Studio
Makespace, Quill City Mall
14-24 September 2017

 

Ulasan oleh Fasyali Fadzly

Ketika sampai di ruang pementasan baharu kendalian Kakiseni yang dikenali sebagai Makespace di Quill City Mall, saya dijamu dengan ruang bawah tanah yang luas dan dipenuhi dengan perabut-perabut kayu yang disusun secara teratur dan kemas. Lampu-lampu kuning yang dinyalakan di seluruh ruang ini menjadikan tempat ini seperti ruang seni yang berlainan sekali suasananya dengan ruang seni lain. Tempat ini, jika bukan dijadikan ruang seni, mungkin akan digunakan sebagai ruang parkir, fikir saya. Saya tidak tahu siapa yang bermurah hati memberikan ruang ini untuk dijadikan ruang untuk aktiviti kesenian.

Namun ruang ini juga bukanlah seperti panggung-panggung konvensional dengan susun atur kerusi penonton dan pentas berplatform yang tetap. Produksi The Keepers Studio telah menukar ruang ini menjadi ruang persembahan Kenduri Kendara. Tiada tirai, tiada platform pentas, tiada palang gantungan lampu. Pendek kata ruang ini bukanlah ruang panggung teater. Ia sebuah ruang terbuka pelbagai guna.

Dengan tajuk besar Kenduri Kendara, The Keepers Studio menyajikan tiga persembahan berbeza dalam acara ini. Dua persembahan interaktif yang bertajuk Suap dan Gerobok dibuat lebih awal daripada persembahan Samar, yang mana persembahan ketiga ini merupakan sebuah pementasan teater. Untuk dua karya interaktif Suap dan Gerobok, ia mengingatkan saya kepada pameran-pameran rekaan teater di Prague Quadrennial 2015 yang lalu. Suap dan Gerobok memerlukan peserta (dalam kes ini penonton) untuk merasai sendiri pengalaman teaterikal yang digarap oleh Azzad Mahdzir. Pengalaman teaterikal ini sesuatu yang menarik untuk diterokai oleh penonton-penonton baharu di Malaysia yang sering disajikan dengan pendekatan teater konvensional.

IMG_6325

Melalui helaian program yang diedarkan, Suap cuba bertanya tentang hal-hal yang lebih melangkau aksi suap itu sendiri. Dalam kumpulan, seramai empat orang akan menyuap makanan ke dalam mulut orang lain. Kumpulan ini boleh jadi kita bersama orang yang dikenali dan juga orang yang tidak dikenali.

“Selain makanan, apakah pertukaran yang berlaku? Pantang larang apakah yang sanggup kita redahi demi hubungan yang lebih mendalam?”

Persoalan-persoalan ini kemudiannya menjadikan acara ini sesuatu yang konseptual. Interaktiviti yang wujud dalam melaksanakan acara suap-menyuap ini menjadikan kami (peserta) sebagai elemen persembahan pula.

Gerobok pula adalah satu karya interaktif lain yang bercakap tentang hal tudung. Terdapat video yang memaparkan beberapa wanita bercakap tentang hubungannya dengan pakaian ini. Paparan video ini cuba berkongsi perspektif berbeza beberapa wanita yang menjadikan tudung sebagai objek budaya. Di akhir video ini, peserta dijemput untuk mengenakan tudung dan merakam potret diri.

Setelah itu, penonton (saya menukar peranan sebagai peserta kepada penonton) akan mengambil tempat untuk menonton teater Samar. Samar, tanpa prejudis, adalah acara utama Kenduri Kendara. Samar ditulis oleh Zed Adam Idris dan diarahkan oleh Azzad, dilakonkan oleh Nadia Aqilah (sebagai Nina) dan Surnia Fizul (sebagai Damar). Samar ditulis berdasarkan hasil devised yang dibuat pada tahun lalu dan dipentaskan dengan tajuk Pasang. Zed akhirnya menulis karya ini menjadikan ia sebuah teater panjang yang masih bercakap hal dan tema yang sama tetapi dengan garapan yang lebih teliti.

IMG_0360

Samar mengisahkan tentang sepasang kekasih yang hidup di persekitaran Malaysia yang moden dan patriakal. Berkahwin setelah Nina mengandung, mereka menjalinkan hubungan yang seringkali berombak. Damar bekerja di tengah lautan di atas pelantar minyak dan Nina pula adalah seorang arkitek yang kemudiannya menyambung pengajian sarjana dalam bidang senibina di Glasgow. Dengan hamparan idea yang struktural, Samar bercakap tentang hal kebahagiaan –kebahagiaan bersama dan kebahagiaan diri.

Persoalan ini dijelmakan melalui dua watak ini melalui insiden-insiden penting yang berlaku sepanjang perhubungan mereka. Adegan dibuka dengan pasangan ini berada di atas katil, Damar dengan hanya memakai boxer dan Nina dalam pakaian tidur. Pasangan yang masih belum berkahwin ini dilihat sangat bahagia dan mengamalkan gaya hidup yang moden. Ciri-ciri Melayu moden jelas terpancar dari dua watak ini dibantu juga dengan kemasan set pentas yang minimal dan moden. Mereka digambarkan tinggal di sebuah apartmen studio di bandar besar seperti Bangsar, Mont Kiara atau Damansara. Selain perabut-perabut moden, rumah mereka dipenuhi dengan pokok hiasan kecil yang dinamakan terrarium.

Setelah Nina memberitahu dirinya mengandung, Damar memujuk untuk berkahwin dan menjaga kandungan tersebut dengan alasan kandungan tersebut adalah daripada benihnya juga. Setelah anak mereka dilahirkan, terdapat satu adegan di mana mereka menjalankan satu upacara adat (yang agak asing bagi saya). Upacara ini dibuat dengan penuh berhati-hati dan teliti dengan Damar mengetuai upacara ini. Hal ini tiba-tiba dilihat bertentangan dengan perwatakan mereka berdua. Mereka yang digambarkan hidup dalam tatacara moden turut terikat dengan tradisi. Penggunaan kain kuning, campuran bunga di dalam bekas dan pengucapan kata-kata serapah menjelaskan ia adalah sebuah upacara yang ritual atau tradisi turun temurun.

IMG_0391

Adegan ini walaupun agak asing di dalam persembahan ini, namun ia menjelaskan tentang latar sosial mereka berdua. Walaupun menjalani kehidupan yang moden, mereka masih lagi terikat dengan hal-hal tradisi. Ini sekaligus mencermin pemikiran watak-watak ini yang masih terikat dengan pemikiran masyarakat Melayu di Malaysia, yang masih didasari dengan tradisi dan sangat patriakal. Pertembungan moden dan tradisional inilah yang menunjang naskhah ini.

Selain itu, naskhah ini turut menawarkan beberapa imej dan simbol yang menarik untuk dirungkaikan. Damar digambarkan seorang lelaki yang masih terikat dengan pemikiran tradisi. Bukan setakat itu sahaja, lelaki Melayu ini mempunyai hobi bercucuk tanam di dalam rumah dengan mengerjakan terrarium yang dilihat menghiasi di setiap genap rumah. Hal ini bertentangan dengan Nina yang tidak langsung mengambil tahu tentang hobi Damar yang suka berkebun. Terdapat satu adegan di mana Damar turut menggunakan wang simpanan mereka berdua untuk membeli tanah supaya Damar dapat mengusahakan kebun cili. Nina berang kerana tindakan membeli tanah untuk pertanian ini tidak melalui perbincangan yang sepatutnya. Duit simpanan itu sepatutnya digunakan untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga ketika Nina menyambung pengajian sarjana di Glasgow. Disebabkan kepercayaan tinggi Damar terhadap ‘tanah’, dia berkeras bahawa tindakan yang dia ambil adalah tepat. Hal ini turut membuktikan bahawa hubungan Damar dengan kegiatan bercucuk tanam tidak boleh dipisahkan.

Jika diteliti juga, nama Damar itu sendiri begitu akrab dengan tumbuh-tumbuhan. Damar adalah bahan berupa getah keras yang diperoleh daripada pokok. Keseluruhan imej-imej yang terdapat melalui watak Damar semuanya adalah berkaitan dengan tanah dan tumbuh-tumbuhan. Ketika di awal adegan juga, Damar ada turut bercakap mengenai benih yang tertanam di dalam kandungan Nina. Obsesi terhadap kehidupan ini menjadi lambang kepada pembentukan watak Damar. Dia lebih gemar benihnya tumbuh dan kekal hidup dari dimusnahkan.

Bertentangan dengan Damar, Nina seperti yang diberitahu, adalah seorang yang gemarkan bangunan berbanding tumbuhan dan alam. Ciri ini dilihat bertentangan dengan perwatakan Damar. Namun, tidak banyak simbol dan imej yang berlingkar di sebalik watak Nina jika dibandingkan dengan Damar. Dengan jelas, kita mengetahui watak Damar dibina dengan lebih berhati-hati berbanding Nina. Namun, ini juga menjadikan watak Nina menjadi lebih cair atau ‘fluid’ berbanding watak Damar yang terkongkong dengan imej dan makna. Disebabkan tidak banyak imej dan simbol yang boleh dikesan di dalam watak Nina, ia menjadikan watak ini lebih ‘bebas’ bersesuaian dengan kehendak watak ini. Nina yang sering mencari makna kebahagiaan ingin bebas dan tidak terikat dengan makna yang sering termaktub. Baginya perkahwinan bukanlah titik puncak kebahagiaan. Kebahagiaan baginya adalah kebebasan.

Namun, bagi yang tidak gemar mencari makna dan simbol-simbol tersirat, naskhah ini masih mampu bercakap secara literal. Disusun secara kronologi, kita akan mengikuti kisah pasangan kekasih suami isteri dan liku-liku di dalam rumah tangga yang pasangan moden ini. Terikat dengan persekitaran dan sistem patriakal, teater ini memberi fokus kepada bagaimana Nina cuba keluar dari persekitaran ini dan bergelut mencari kebebasan dan kebahagian yang dia inginkan.

IMG_0462

Saya juga cukup teruja dengan pengakhiran naskhah ini yang ditutup dengan kemas. Teater dimulakan dengan mereka berdua di atas katil dengan boxer dan pakaian tidur dalam keadaan paling gembira, dan ia diakhiri dengan mereka duduk di atas kerusi di hadapan ustaz (tidak dijelmakan di atas pentas) dengan pakaian yang lengkap menutup aurat dengan keadaan yang agak tegang. Ia seolah-olah satu penyataan yang dijelaskan oleh pengarah tentang situasi sosial masa kini.

Walaupun ditulis dengan agak seimbang oleh Zed Adam tentang hala tuju dua watak yang bertentangan ini, pementasan ini mempunyai perspektifnya tersendiri. Di bawah arahan Azzad Mahdzir, beliau kelihatan lebih memihak kepada Nina yang jelas mahukan kebebasan total. Lakonan matang yang dibawakan oleh Nadia Aqilah juga begitu menjelaskan bahawa watak Nina adalah seorang wanita yang berpendirian tetapi tersepit dalam norma dan tanggapan masyarakat yang berpegang kepada tradisi. Dijayakan dengan kerjasama Sister in Islam, pementasan ini adalah sebahagian daripada kerja aktivisme yang cuba membela nasib wanita-wanita seperti Nina.

Namun, untuk melihat keseluruhan persembahan ini secara satu acara teater, ia sedikit terganggu. Gabungan tiga teater dalam satu acara ini dilihat agak keterlaluan seolah-olah mahu bercakap terlalu banyak hal. Pengalaman sebagai peserta/penonton di dalam acara ini dilihat agak tidak konsisten. Samar yang dilihat sebagai acara utama dipentaskan di akhir slot dan menjadikan dua acara sebelumnya, Suap dan Gerobok, dilihat sebagai acara pembuka. Eksperimentasi terhadap peranan penonton aktif dilakukan dengan baik melalui dua slot ini. Hal ini sekaligus memberi gambaran bahawa Samar juga adalah sebuah karya eksperimental. Namun sebaliknya berlaku apabila Samar adalah sebuah pementasan konvensional. Jika dapat dibuat analogi, Azzad Mahdzir memberi jamuan pembuka selera dengan menyajikan keju dan biskut tetapi sajian utama adalah nasi lemak. Namun setiap satunya boleh dihadam. Cuma sajian menunya tidak saling melengkapi. Kepelbagaian bentuk dan pengalaman teaterikal boleh dianggap terlalu berbeza dan tidak saling melengkapi untuk diletakkan di bawah satu tajuk Kenduri Kendara.

Pementasan ini kaya dengan visual dan imej. Makna boleh dicari melalui aspek pameran, projeksi, dan pementasan, malah melalui penulisan juga kita turut dijamu dengan imej dan simbol yang memberi makna yang berlapis-lapis. Pujian seharusnya diberikan kepada penulis Zed Adam Idris yang berjaya menghasilkan karya Samar yang bukan sahaja bercakap tentang hal isu semasa tetapi kehalusan tulisannya yang mampu memberi pelbagai lapis makna. Tahniah kepada seluruh ahli produksi kerana berjaya mementaskan Kenduri Kendara yang sememangnya memberikan pengalaman lain dalam menonton teater.

IMG_0483


Fasyali Fadzly adalah seorang penggemar teater yang kadang-kala menulis skrip dan mengarah teater secara kecil-kecilan. Beliau kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. 

All images courtesy of Pang Khee Teik.


Leave a Reply

Your email address will not be published.